Profesor Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin
Abdul Shukor Husin
KUALA LUMPUR - Transaksi jual beli dan pelaburan emas Syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan hukum syarak dan undang-undang negara.

Ini disahkan oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.


Beliau berkata, muzakarah tiga hari majlis itu bermula Rabu lepas meneliti  laporan dan hasil siasatan Bank Negara Malaysia terhadap operasi jual beli dan pelaburan emas syarikat itu.



Katanya, operasi syarikat tersebut didapati tidak mematuhi sepenuhnya Parameter Pelaburan Emas seperti diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa

Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 96 yang diadakan pada 13 hingga 15 Jun lepas.

Kenyataan itu menasihatkan umat Islam tidak melibatkan diri dalam aktiviti atau transaksi jual beli dan pelaburan emas oleh mana-mana pihak, sama ada syarikat di dalam negara atau luar negara yang bertentangan dengan prinsip jual beli emas seperti yang digariskan oleh syarak dan undang-undang negara.

Abdul Shukor berkata, transaksi jual beli mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan hukum syarak, dan sesuatu transaksi dikira tidak sah sekiranya tidak memenuhi salah satu rukun jual beli.

Beliau berkata transaksi juga hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman. – Bernama

Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd.


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
    
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh syarak. Sesuatu transaksi jualbeli adalah dikira tidak sah sekiranya tidak memenuhi salah satu rukun jual beli. Muzakarah turut menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas juga hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman.
     
  2. Berdasarkan laporan dan hasil siasatan Bank Negara Malaysia terhadap operasi jual beli dan pelaburan emas oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd., Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. tidak mematuhi sepenuhnya Parameter Pelaburan Emas sepertimana yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 pada 13 hingga 15 Oktober 2011.
     
  3. Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti atau transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak sama ada syarikat atau individu di dalam atau luar negara yang bertentangan dengan prinsip-prinsip jual-beli emas seperti yang digariskan oleh syarak atau undang-undang negara.
  4. SUMBER: E-FATWA KEBANGSAAN